Friday, June 11, 2010

Derita seekor kucing

Nama saya Awang. Saya merupakan seekor kucing terbiar yang sering merayau-rayau di sekitar blok asrama di sebuah institut pengajian tinggi di bandar Kuching. Saya amat suka tinggal di sini kerana pemandangan di sini amat indah dan permai. Tentu anda juga akan suka sekiranya anda tinggal di sini. Suasana yang sentiasa nyaman dan tenang. Tetapi, kehidupan saya tidaklah seindah tempat ini. Siapalah saya dan dimanakah tempat untuk saya mengadu. Saya dilayan seperti saya tidak layak wujud ke dunia ini. Saya dihalau, dipukul, ditendang, diherdik, dipijak dan kadang-kadang disimbah dengan air ataupun ditikam dengan apa-apa saja jenis barang. Saya jadi terkilan dan kecewa.

Adakah saya telah melakukan dosa besar jika saya pergi mencari barang secebis makanan. Saya tidak pernah minta makanan yang lazat-lazat cukup sekadar sisa-sisa makanan untuk saya melapik perut.Hendak dikatakan mereka adalah manusia yang jahil, tidak pula. Mereka semua adalah pelajar sebuah IPTA, tetapi pemikiran mereka agak singkat. Hanya kerana menjatuhkan sebuah tong sampah, saya dihambat menggunakan kayu sehingga tidak cukup tanah saya berlari. Sakit kepala saya kerana terhantuk dinding semasa cuba melarikan diri. Apabila dirasakan keadaan mula selamat, saya berhenti dan merintih kesedihan. Sudahlah hidup sebatang kara, saya diperlakukan seperti saya tidak ada hati dan perasaan. Lalu saya membawa diri ke belakang blok dengan perut yang kosong dan hati yang sedih disamping pedih dipukul.

Tiba-tiba, saya bagaikan tidak menyangka bahawa ada seseorang manusia memanggil-manggil saya.. Meow.. Meow.. Saya amati betul-betul dan hidu betul-betul. Saya amat takut jika dia bertindak di luar dugaan. Tanpa saya sangka, dia teru merangkul tubuh saya. Disuanya nasi berlauk ikan kepada saya. Ya, bagi mereka itu hanya sisa makanan tetapi bagi saya ia adalah makanan yang paling enak pernah saya dapat di dunia ini. Saya makan dengan gelojoh kerana terlalu lapar. Sambil saya makan, sambil saya memandang ke wajah si manusia baik hati.Saya rasa hairan kenapa dia masih berada disitu sehingga habis makanan saya. Rupa-rupanya, selepas saya habis makan, dia membersihkan bekas makanan tadi. Saya mengiau tanda berterima kasih. Dia hanya tersenyum melihat saya lalu menghilang ke dalam bilik. Melilau saya mencari dia. Saya menghidu di sepanjang blok mencarinya. Dan nah.. Saya sudah jumpa biliknya.

Semenjak hari itu, saya setia berada di depan pintu biliknya. Setiap hari, dia akan memberi makanan kepada saya. Walaupun sekali sekala dia ada mengherdik dan memukul saya, saya tahu dia tidak bermaksud begitu.Selepas itu, dia akan memandang saya dengan pandangan sayu sambil mengusap-ngusap tubuh saya. Saya lantas memaafkan kesalahannya. Tetapi, sudah beberapa hari saya tidak melihatnya. Saban hari saya mengiau dan ini sebulan sudah berlalu. Blok asrama juga terasa sunyi. Rupanya, mereka sudah bercuti. Saya menangis kesedihan kerana tidak tahu sama ada kami akan berjumpa lagi atau tidak. Sesungguhnya, saya merasa amat terharu di atas keprihatinan dia sebelum ini.Saya berdoa agar dia sentiasa dalam keadaan baik dan sihat sejahtera. Semoga Allah membalas segala kebaikannya.

No comments:

Post a Comment